Friday, 20 January 2012
Pecahkan batu karang guna daun pecah beling
Pecah beling atau nama saintifiknya Strobilanthes crispus atau
Saricocalix crispus (Acanthaceae) merupakan tumbuhan yang berasal
dari Madagascar hingga ke Indonesia dan telah dikenal pasti buat
pertama kalinya oleh Thomas Anderson (1832 - 1870) yang mengkelaskan
tumbuhan ini di bawah Spermatophyta (tumbuhan berbunga dan
gymnosperma). Daun in dikenali dengan nama pecah beling, enyoh kilo,
kecibeling atau kejibeling di Indonesia. Di Malaysia, pokok ini
lebih dikenali dengan nama pecah kaca, pecah beling atau jin batu.
Pokok mudah ditanam dan hidup subur di Malaysia. Daunnya telah
digunakan secara tradisional untuk merawat kanser, kencing manis
serta batu karang dan juga sebagai agen diuretik.
Tumbuhan ini mempunyai kandungan kalsium karbonat yang tinggi dan
air rebusannya bersifat alkali yang lemah. Kajian oleh Kusumoto dan
rakan-rakan (1992) menyatakan bahawa ekstrak air pecah beling
mempunyai kompaun atau molekul yang mampu untuk merencatkan
pertumbuhan retrovirus; agen dalam jangkitan virus seperti sindrom
kurang daya tahan penyakit (AIDS) dan juga mampu untuk merencatkan
pertumbuhan sel leukemia. Terdapat banyak kompaun yang telah
diasingkan dan dikenal pasti seperti asid kafeik, asid p-hidroksi
benzoik, asid p-voumarik, asid vanillik, asid gentinik, asid ferulik
dan asid siringik.
Daripada kajian makmal yang dilakukan oleh Fakulti Perubatan dan
Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), daun pecah beling
mempunyai kandungan mineral yang sangat tinggi seperti kalium (51%),
kalsium (24%), natrium (24%), ferum (1%) dan fosforus (1%). Daunnya
juga mempunyai kandungan vitamin C, B1, B2 yang agak tinggi dan
banyak bahan yang lain seperti katekin dan tannin. Daun ini juga
mengandungi kafeina, tetapi kandungannya adalah rendah. Kesemua
kandungan yang dinyatakan menyumbang kepada paras jumlah antioksidan
(total antioxidant activity) yang sangat tinggi jika dibandingkan
dengan yerbamate (teh herba) dan vitamin E (alfa-tokoferol).
Bagi kajian antikanser pula, kajian praklinikal telah dijalankan
untuk menilai keberkesanan ekstrak pecah beling secara in vitro
(kultur tisu) dan in vivo (kajian haiwan). Bagi kajian kultur tisu,
ekstrak pecah beling bertindak secara efektif untuk merencatkan
pertumbuhan sel kanser kolon, kanser hati dan kanser buah dada.
Ekstrak ini mampu membunuh sel kanser dengan mengaruh sel kanser ini
mati secara semula jadi (apoptosis) tanpa kesan sampingan atau
keradangan. Di samping itu, ekstrak pecah beling ini juga mampu
untuk memendamkan gen penyebab kanser, sekali gus mengurangkan
risiko dan keterukan kanser. Bagi kajian haiwan pula, ekstrak air
pecah beling pada kepekatan 2.5% dan 5% mampu untuk mengurangkan
keterukan kanser hati bagi tikus yang diaruh kanser hati.
Fitosterol (sterol dari tumbuhan) telah berjaya diasingkan daripada
daun pecah beling ini. Bahan ini telah terbukti mampu untuk
merencatkan pertumbuhan sel kanser seperti yang telah disebutkan di
atas. Bahan ini juga dikatakan mampu untuk menurunkan paras
kolesterol darah kerana fitosterol akan bersaing dengan kolesterol
di dalam usus, sekali gus menyebabkan kolesterol dari makanan tidak
dapat diserap.
Ekstrak air daun pecah beling juga telah diuji keberkesanannya
sebagai agen antidiabetis pada tikus yang diaruh diabetes. Ekstrak
daun pecah beling pada kepekatan 5% dan 7.5% mampu untuk menurunkan
paras gula darah di samping meningkatkan paras jumlah antioksidan
(total antioxidant level) darah bagi tikus yang diaruh diabetes atau
kencing manis. Ekstrak ini tidak mempunyai kesan ke atas paras gula
darah pada tikus normal, tetapi mampu untuk meningkatkan paras
jumlah antioksida (total antioxidant level). Peningkatan paras
jumlah antioksidan (total antioxidant level) dalam darah adalah
penting untuk melindungi badan daripada radikal bebas. Oleh itu,
ekstrak ini sesuai bukan sahaja untuk mereka yang berpenyakit,
tetapi juga untuk mereka yang normal.
Kami telah menyediakan formula teh daripada daun pecah beling. Teh
pecah beling ini telah menunjukkan tahap antioksidan yang sangat
tinggi, merencatkan pertumbuhan sel kanser buah dada dan kanser
ovari dan juga berkesan untuk menurunkan paras gula darah pada tikus
yang diaruh diabates atau kencing manis. Hasil yang menarik lagi
ialah di mana teh pecah beling ini mampu untuk merencatkan
pertumbuhan 2 daripada 9 mikroorganisma yang dikaji iaitu
Streptococcus sobrinus dan Streptococcus mutans. Bakteria yang
disebutkan ini adalah bakteria yang menyebabkan karies gigi.
Kesimpulannya, daun pecah beling merupakan tumbuhan yang mempunyai
banyak khasiat. Ia mempunyai jumlah antioksidan yang tinggi di
samping mampu untuk bertindak sebagai agen antioksidan, antikanser,
antidiabetes dan juga antimikrob. Walau bagaimanapun, kajian
klinikal (human study) masih perlu dijalankan untuk menentukan
kesannya terhadap pesakit kanser dan juga pesakit diabetes atau
kencing manis.
lawati :http//www.maynetwork.net/racek
Artikel oleh:
Prof. Madya Dr. Asmah Rahmat dan Mohd. Fadzelly Abu Bakar.
Jabatan Pemakanan dan Sains Kesihatan, Fakulti Perubatan dan Sains
Kesihatan,
UPM, Serdang, Selangor, Malaysia.
No comments:
Post a Comment